Pelaksanaan PdP tanpa penggiliran sedang dipertimbangkan KPM

0
1

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mempertimbangkan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah bagi kumpulan pelajar kelas peperiksaan tanpa penggiliran.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, berkata perkara itu sedang dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari segi kadar vaksinasi dalam kalangan pelajar berkenaan.

“Sebagaimana kita tahu, pelajar sudah mula masuk ke sekolah dan prosedur operasi standard (SOP) juga didapati dilaksanakan dengan baik, namun begitu ada kumpulan pelajar di mana kita mungkin tidak akan adakan penggiliran.

“Dalam hal ini, mungkin kita (KPM) akan adakan bagi pelajar kelas peperiksaan terlebih dulu sepertimana yang kita laksanakan terhadap pelajar yang menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua tempoh hari.

“Memandangkan jumlah terbabit adalah besar, jadi kita sedang berbincang dengan KKM untuk melihat apakah kadar vaksinasi yang membolehkan pelajar tingkatan lima boleh dibawa masuk tanpa penggiliran,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Zainun, Tampin sempena pembukaan sekolah Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), hari ini.

Katanya, perkembangan vaksinasi pelajar sedang dipantau dan setakat ini lebih 97 peratus pelajar tingkatan lima di seluruh negara sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19, dan 50 peratus sudah lengkap vaksinasi.

“Jadi, kita sedang memantau keadaan vaksinasi pelajar kelas peperiksaan ini dan jika sudah sampai ke tahap tertentu, dan dirasakan sesuai untuk membawa mereka balik tanpa penggiliran, maka kita akan laksanakannya.

“Namun begitu pada waktu ini kita masih lagi memantau,” katanya.

Sementara itu, mengenai kehadiran pelajar Fasa 4 PPN, beliau berkata, pelajar yang hadir bagi Kumpulan B hari ini membabitkan Negeri Sembilan, Labuan serta Langkawi, pada semalam.

“Ia membabitkan pelajar tingkatan tiga dan empat di sekolah menengah (SM), manakala murid tahun satu, dua dan tiga bagi SK,” katanya.

Radzi berkata, secara keseluruhannya pelajar dan murid yang hadir ke sekolah berjalan dengan lancar dan baik di mana jumlah kehadiran mereka pada tahap memuaskan dengan mengambil kira hari pertama persekolahan bersemuka.

Beliau berkata, keseluruhannya seramai 340,000 orang pelajar atau murid sudah hadir ke sekolah di seluruh negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here