DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup 41 premis dalam Tindakan Ops Patuh Terhadap Premis Perniagaan Komersial di 11 kawasan Kuala Lumpur sepanjang tempoh 1 hingga 15 Oktober lalu.
Keseluruhan 419 buah premis diperiksa dalam operasi berkenaan yang membabitkan aktiviti pusat hiburan, perniagaan restoran, kedai barangan am dan lain-lain aktiviti yang beroperasi semasa dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
DBKL dalam satu kenyataan, memaklumkan tindakan itu adalah untuk memastikan pematuhan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan lain-lain kesalahan di bawah akta dan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan DBKL.
“Tiga notis kompaun dikeluarkan menerusi Akta 342 dengan pelbagai kesalahan terhadap individu /pemilik premis / syarikat yang ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PPN yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“DBKL turut membuat penutupan terhadap satu premis hiburan di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan (WPKL) 1992 dan 40 premis lain melalui Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 terhadap premis perniagaan yang dikendalikan oleh warganegara asing tanpa kebenaran.
“Turut dilaksanakan tindakan menahan sementara 27 warga Bangladesh, 12 warga Pakistan, enam warga India dan 14 warga Indonesia (pengendali/pekerja premis) bagi tujuan dokumentasi dan tindakan susulan agensi sahabat,” menurut kenyataan itu.
Menurut DBKL, pihaknya turut menyita 15 barangan peralatan melibatkan mixer, monitor, pembesar suara, televisyen dan lain-lain peralatan di premis hiburan yang beroperasi tanpa kebenaran.
“Sepanjang tempoh dua minggu operasi ini, 114 notis kompaun pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.
“Ops Patuh ini akan diteruskan sehingga tamat tempoh PPN dikuatkuasakan. Tindakan khas ini dilakukan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang serta SOP DBKL dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. – Malaysiapost

