‘Ahli yang setia sangat dihargai Umno’ – Mahdzir Khalid

0
1

UMNO amat menghargai ahli-ahlinya yang setia dan terus kekal bersama dalam perjuangan parti itu, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Naib Presiden Umno itu, berkata tunjang kekuatan parti itu terletak pada ahli-ahlinya di peringkat akar umbi yang tidak mengalah meskipun berhadapan pelbagai ujian termasuk kehilangan beberapa pemimpinnya.

“Pada tahun 2018 apabila sebahagian daripada rakan-rakan kita dalam Umno di peringkat kepimpinan telah keluar daripada parti ini.

“Saya tak kisah mereka hendak pergi ke mana, tetapi yang hendak saya nyatakan bukan ke mana mereka pergi, yang saya hendak nyatakan semangat ahli cawangan, semangat ketua cawangan, semangat ketua wanita, pemuda, puteri dan kepimpinan bahagian yang terus berjuang walaupun sudah tahu kita kalah,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Cawangan Umno Berkelompok DUN Bengkoka dan Pitas di Pejabat Umno Bahagian Kudat, Sabah, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Bahagian Umnk Kudat, Akram Ismail.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, ahli-ahli yang setia kepada parti itulah yang telah meneruskan kelangsungan Umno di seluruh negara.

Katanya, ahli-ahli Umno tidak perlu lagi malu untuk memakai baju berwarna merah yang melambangkan parti itu atau mengaku diri sebagai ahli Umno.

Menurutnya, dalam tempoh 22 bulan menjadi pembangkang, parti itu menghadapi pelbagai ujian seperti Pilihan Raya Kecil DUN dan juga Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Datuk Seri Bung diuji pada waktu itu kerana ada Pilihan Raya Kecil Kimanis, panggil kawan-kawan seluruh Sabah, sekarang kita mahu pilihanraya Kimanis, kita pembangkang, kita mahu himpunkan jentera, jentera pun kurang pengalaman,” katanya.

Tambah Mahdzir, kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah telah meletakkan semula Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai peneraju kerajaan negeri itu.

“Dari Perlis sampai ke Sabah, Umno sebuah parti yang ada strukturnya di semua peringkat. Kita kena terus kuatkan parti untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 nanti, kekuatan Umno ada di akar umbi. Kita hanya nak menang pilihanraya dan kembalikan agenda membangunkan negara.

“Jangan jadi macam ketam dalam kotak, satu nak naik, yang lain tarik sampai jatuh. Sampai tidak ada yang boleh keluar. Elakkanlah sikap seumpama itu di dalam Umno. Marilah kita sama-sama bersolidariti untuk meneruskan agenda perjuangan parti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here