DATUK Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan beberapa kemudahan yang diterima susulan kedudukannya sebagai ketua pembangkang yang telah dinaikkan bertaraf menteri oleh kerajaan baru-baru ini.
Sebagai langkah tidak setuju mengenainya, Pengerusi Pakatan Harapan itu akan menyalurkan dana yang beliau tidak berkenan kepada golongan yang lebih memerlukan.
“Namun, saya tidak bersetuju dengan butiran-butiran di bawah sepertimana disebut dalam surat tawaran kepada saya yang diutus Perdana Menteri.
“Beberapa kemudahan lain yang setaraf menteri tidak dapat saya terima sama sekali. Malah, saya akan menyalurkan dana tersebut untuk tabung rakyat miskin.
“Saya juga telah tegaskan pada pihak Parlimen yang menyediakan pejabat saya untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan diberi peruntukan tambahan,” katanya di Facebook, hari ini.
Bagaimanapun, Anwar berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berusaha meningkatkan fungsi ketua pembangkang seperti amalan demokrasi oleh negara lain di dunia.
“Saya ucap terima kasih atas kesediaan serta pengiktirafan dari YAB Perdana Menteri Ismail Sabri Yakob dan kerajaan kerana bersetuju menambahbaik taraf Parlimen dan fungsi Ketua Pembangkang seperti yang selayaknya dalam mana-mana negara demokratik di dunia.
“Perdana Menteri juga bersetuju memberi kemudahan untuk sebuah pejabat bagi Ketua Pembangkang dan beberapa kemudahan lain. Ini termasuk staf bagi membantu urusan kerja dan pejabat,” katanya.
Anwar juga menegaskan, bahawa pengiktirafan kepada Pejabat Ketua Pembangkang ini tidak bermaksud pembangkang akan mendukung apa sahaja dasar kerajaan tanpa soal.
“Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri dalam surat kepada saya itu, keputusan ini tidak menjejaskan peranan Ketua Pembangkang. Saya akan tetap menjalankan tugas seperti sediakala.
“Aspek semak imbang akan terus diperhebat bagi memastikan negara ini terus di landasan demokrasi,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu. – Malaysiapost

