PRN Melaka: Umno kumpul maklum balas sebelum buat keputusan penting

0
1

KEPUTUSAN-keputusan penting Umno berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk kerjasama dengan mana-mana parti akan ditentukan selepas mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Isnin ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata mesyuarat yang diadakan semalam hanya mendapatkan maklum balas dari kepimpinan Umno, dan keputusan berkaitan itu masih belum diputuskan lagi.

“Semalam ada dua mesyuarat. Mesyuarat pertama, Biro Politik yang mana pengerusi-pengerusi perhubungan Umno termasuk Presiden, Timbalan, Ketua Pemuda, Wanita, Puteri, Bendahari, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan hadir sebelah petang manakala malam pula Majlis Kerja Tertinggi (MKT), majoriti hadir.

“Jadi dalam kedua-dua mesyuarat itu tujuannya untuk mendapatkan maklum balas mereka, maklum balas dari Melaka dan Ibu Pejabat Umno yang dikongsikan dengan kertas-kertas tertentu yang dibentangkan.

“Oleh kerana tarikh PRN belum diketahui jadi tiada lagi ‘urgency’ untuk buat keputusan, tetapi apabila SPR umum (hasil mesyuarat) Isnin ini, kita akan buat keputusan penting dengan siapa kita nak bersama dan bentuk peranan politik yang akan berlaku kemudian,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat semalam lebih menfokuskan maklum balas dan pandangan semua pihak sebelum keputusan dibuat.

Katanya, daripada maklum balas itu, pihaknya dapat membuat analisis dan kajian untuk mendapatkan keputusan yang tepat.

“Maklum balas ini ada pelbagai kaedah yang kita boleh perolehi, jadi dua mesyuarat itu hanya mendapatkan maklum balas. Maklum balas dan kajian yang tepat baru kita boleh buat keputusan.

“Maklum balas ialah kita nak menang… masuk PRN kita nak menang. Jadi kita dapatkan maklum balas. Ini kaedah kita buat supaya dapat keputusan yang tepat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here