ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa diwujudkan Rang Undang-undang (RUU) yang mewajibkan setiap Ahli Parlimen mengisytihar nilai harta dan aset kepada umum, bagi memastikan isu seperti Pandora Papers tidak berulang.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata pihaknya memandang berat pendedahan isu terbabit yang dibuat oleh media antarabangsa baru-baru ini.
Katanya, pendedahan itu turut menarik perhatian rakyat Malaysia kerana ia mengaitkan beberapa tokoh politik negara yang didakwa mempunyai kepentingan kewangan peribadi di akaun pesisir dan negara luar.
“Justeru, atas sebab itu, ABIM merasakan desakan menerusi usul dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar pendedahan ini dibahaskan di Parlimen adalah tepat.
“Ini memandangkan ia membabitkan ketelusan dan integriti ahli politik khususnya mereka yang menjawat tugasan penting dalam pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, perbahasan menerusi usul khusus mesti didahulukan agar proses semak dan imbang dapat dilaksanakan secara menyeluruh menerusi mekanisme rasmi sidang Parlimen kerana ia membabitkan kebertanggungjawaban terhadap kepentingan rakyat.
“Apatah lagi, media antarabangsa, International Consortium of Investigative Journalist (ICIJ), turut melaporkan Pandora Papers juga mengaitkan firma Baker Mckenzie dengan Jho Low yang terlibat dengan skandal kewangan 1MDB.
“Atas dasar tersebut, ABIM menggesa perlu ada RUU yang mewajibkan setiap pemimpin negara mengistiyhar nilai wang serta aset dimiliki mereka, baik yang ada di dalam serta luar negara.
“RUU ini juga perlu mewajibkan setiap pemimpin negara yang berkenaan menjelaskan sumber serta bagaimana aset-aset ini dikumpulkan,” katanya. – Malaysiapost

