AADK benarkan lawatan keluarga, penjaga ke Puspen

0
1
AADK

AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) membenarkan lawatan untuk keluarga atau penjaga bagi klien yang mengikuti program rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara.

AADK dalam satu kenyataan berkata, sesi lawatan itu hanya boleh dilakukan menerusi permohonan menerusi panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp, surat atau e-mel kepada pegawai pemulihan terlibat.

Menurutnya, lawatan secara datang terus (walk-in) tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh pandemik ini.

“Kebenaran lawatan itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Setiap keluarga atau penjaga perlu membuat janji temu dengan pihak Puspen bagi mengelakkan kesesakan, melancarkan perkhidmatan AADK dan mengelakkan risiko penularan jangkitan wabak Covid-19,” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam masa sama, AADK mengakui sesi lawatan keluarga itu memberi ruang dan peluang dalam menyokong klien sekali gus memberi komitmen mengekalkan kepulihan.

“Sesi lawatan keluarga ini akan memberi ruang dan peluang kepada keluarga atau penjaga serta klien untuk bertemu mesra sebagai pendekatan teraputik.

“Ia penting bagi menyokong klien dalam institusi untuk terus memberi komitmen mengekalkan kepulihan,” katanya.

Sementara itu, AADK berkata bagi sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Puspen berkaitan atau melayari laman web rasmi AADK di www.adk.gov.my. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here