DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak merobohkan satu struktur kediaman yang dibina tanpa kebenaran dan dijadikan stor di Jalan Batu Belah, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, hari ini.
Tindakan Khas Meroboh Struktur Tanpa Perintah Pembangunan itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu dilaksanakan hasil daripada maklumat dan aduan awam serta pemantauan dari pasukan Teknikal Pembangunan DBKL.

“Pemilik kediaman telah diberikan Notis Penguatkuasaan sebelum ini namun masih ingkar untuk mematuhi arahan setelah tempoh notis tamat.

“Tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Seksyen 70, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Seksyen 26, Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 melibatkan kesalahan mendirikan struktur tambahan tanpa kebenaran.

“Kesalahan lain adalah menukar kegunaan sebahagian lot daripada kediaman kepada stor (simpanan barang-barang perniagaan) tanpa perintah pembangunan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut DBKL, tindakan sita dan pindah barangan turut dilakukan terhadap premis berkenaan dan kesemua barangan dihantar ke Stor Sitaan DBKL untuk proses penyimpanan dan dokumentasi.
“DBKL memandang serius terhadap sebarang pembinaan tambahan struktur haram dan menukar aktiviti kegunaan kediaman kepada setor atau perniagaan tanpa kelulusan Perintah Pembangunan.
“Tindakan ini akan menyebabkan masalah kacau ganggu, kesesakan lalu lintas dan kebersihan di kawasan kediaman sedia ada di Kuala Lumpur,” katanya.
DBKL turut menasihatkan semua pemilik kediaman atau mana-mana premis agar mengikuti garis panduan dan membuat permohonan terlebih dahulu sebelum melakukan kerja pengubahsuaian atau pembinaan. – Malaysiapost

