MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menjelaskan sudah menghantar penjelasan bertulis terhadap usul Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Bukit Mertajam, Sim Chee Keong mengenai isu dasar kabotaj kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Perkara itu dimaklumkan Ka Siong susulan laporan media mengenai dakwaan beliau mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu berkenaan.
“Saya mengambil maklum laporan media mengenai ‘dakwaan mengelirukan di Dewan Rakyat berhubung isu kabotaj’.
“Untuk makluman semua, saya telah menghantar surat rasmi Penjelasan Bertulis Terhadap Usul YB Bagan dan YB Bukit Mertajam.
“Usul di Bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB Datuk Azhar Azizan Harun pada 12 Oktober 2021.
“… dan telah disahkan terima oleh Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 13 Oktober 2021,” katanya menerusi Facebook.
Dalam hantaran sama, Ka Siong turut menyertakan salinan surat yang dinyatakannya itu.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, beliau yakin Guan Eng dan Chee Keong juga menerima surat sama yang dihantar oleh Speaker Dewan Rakyat.
“Saya juga akan mengulas lanjut secara terperinci mengenai perkara ini dalam sesi debat dengan Lim Guan Eng nanti, selepas Belanjawan 2022 dibentangkan pada 29 Oktober 2021.
“Saya tunggu YB Lim Guan Eng, bila senang marilah kita berdebat!,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Azhar mengarahkan Ka Siong, membuat penjelasan berkenaan jawapan lisannya berkaitan isu dasar kabotaj yang didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.
Hal ini kerana jawapan Ka Siong pada 30 September lalu, dianggap bercanggah dengan jawapan bertulis Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkaitan isu sama pada 5 Oktober lalu.
Azhar berkata, penjelasan itu adalah susulan usul dikemukakan Guan Eng, untuk merujuk Ka Siong ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas alasan mengelirukan Dewan Rakyat.
Katanya, sehubungan itu Ka Siong diminta mengemukakan bukti dan dokumen bagi menyokong penjelasan yang diminta. – Malaysiapost

![±M³XÃQ®a²» ¡]°OªÌ¡G§d¹Å¶² - Äá¼v¡GªLªl¤t¡^](https://mp.createportal.com/wp-content/uploads/2020/09/wee-ka-siong.jpg)