SEORANG kanak-kanak perempuan autisme berusia lapan tahun maut dipercayai ditinggalkan selama tiga jam dalam sebuah van di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan, Seremban malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata mangsa yang mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran itu ditinggalkan tanpa sengaja oleh pemandu yang diberi tanggungjawab menghantar mangsa.
Menurutnya, satu laporan polis berhubung kematian kanak-kanak autisme itu diterima pada jam 7.46 malam tadi.
“Siasatan awal mendapati mangsa sepatutnya dihantar ke Pusat Jagaan Harian di Taman Nusari Aman oleh pemandu van tersebut.
“Bagaimanapun, pemandu van pulang ke rumah tanpa menyedari mangsa masih berada dalam kenderaannya dari jam 2.30 hingga 5.30 petang,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Said berkata, van tersebut dipercayai diletakkan di hadapan rumah pemandu itu sepanjang tempoh tersebut dan ketika ditemukan mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya.
Susulan kes itu, beliau berkata, polis menahan lelaki berusia 34 tahun yang merupakan pemandu van berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Tambah Mohd Said, proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengesahkan punca sebenar kematian mangsa. – Malaysiapost

