Berhenti guna gambar pelakon terpalit dadah berpakaian juruterbang TUDM

0
1

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) kesal apabila beberapa media, blogger dan pengguna media sosial mensensasikan berita penangkapan seorang pelakon kerana memiliki dadah dengan menggunakan gambarnya berpakaian juruterbang TUDM.

Menerusi kenyataan hari ini, TUDM berkata isu itu telah menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta mencalarkan imej TUDM.

TUDM menegaskan, pelakon tersebut sama sekali tidak pernah berkhidmat dengan TUDM serta Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

“Gambar beliau berpakaian juruterbang tersebut adalah semasa memegang watak sebagai Juruterbang TUDM dalam sebuah drama bertajuk “Gempur Wira” yang disiarkan RTM pada tahun 2018.

“Oleh itu, TUDM amat kesal dengan tindakan penggunaan gambar artis berkenaan yang berpakaian juruterbang TUDM dipaparkan dalam artikel berkaitan dakwaan kesalahan jenayah dilakukan beliau yang memberikan kesan imej negatif,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, TUDM meminta media, pengguna media sosial dan blogger lebih peka dan berhati-hati dalam penggunaan gambar untuk sebarang artikel agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada masyarat serta boleh mencalar imej TUDM dan ATM keseluruhannya.

“Justeru, TUDM meminta agar mana-mana media, blogger dan pengguna media sosial untuk tidak mengaitkan pelakon tersebut dengan TUDM dan dimohon dapat dibuat pembetulan bagi mana-mana artikel yang telah dimuat naik,” katanya.

Terdahulu, pelakon Niezam Zaidi ditahan polis selepas didapati positif dadah Ahad lalu.

Niezam bersama pengarah, Mohd Latiff Zami, 49; dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46, ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar.

Dalam serbuan tersebut, polis menjumpai dadah jenis kanabis seberat 1.45 gram dipercayai milik pelakon dan pengarah terbabit.

Pemeriksaan di bilik penolong pengarah pula menjumpai di atas lantai dadah jenis methamphetamine seberat 0.38 gram.

Ketiga-tiga mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar semalam atas tuduhan memiliki dadah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here