PELAKON, pengarah filem dan penolongnya masing-masing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan memiliki dadah, Ahad lalu.
Pelakon, Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 28; pengarah, Mohd Latiff Zami, 49; dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari, lapor Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhamad Niezam didapati ada dalam milikannya 1.15 gram dadah berbahaya jenis Cannabis di rumah di Taman Chandan Putri, Kuala Kangsar pada jam 7.15 pagi, 10 Oktober lalu.
Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin pula masing-masing didapati memiliki 0.3 gram dadah jenis Cannabis dan 0.38 gram Methamphetamine pada waktu, tarikh dan lokasi sama.
Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 ke atas Muhamad Niezam dan Mohd Latiff yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ke atas Saiful Zaidrin dibaca mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin.
Nur Syuhada memohon mahkamah menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin kepada Muhamad Niezam dan Mohd Latiff manakala jaminan RM8,000 kepada Saiful Zaidrin, juga dengan seorang penjamin.
Intan Shafini memohon jumlah jaminan diringankan mengambil kira tanggungan ketiga-tiga tertuduh selain mereka hilang sumber pencarian melalui pekerjaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Majistret kemudian menetapkan jaminan RM3,000 kepada Muhamad Niezam, RM2,600 kepada Mohd Latiff dan RM3,200 kepada Saiful Zaidrin, masing-masing dengan seorang penjamin.
Mohd Shazmeer seterusnya menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. – Malaysiapost

