Polis rakam keterangan 2 individu kes palsu dokumen guna nama TMJ

0
1

POLIS Johor mengambil keterangan dua suspek dipercayai terbabit dengan kes pemalsuan dokumen tukaran wang asing yang didakwa menggunakan nama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata dua individu itu membabitkan seorang wanita tempatan yang didakwa mempunyai gelaran Datuk Seri dan seorang lelaki yang juga seorang peguam.

“Untuk kes ini, kita sudah selesai mengambil keterangan mereka dan kini sedang mengesan tiga lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini.

“Keterangan sudah diambil dan siasatan sedang dijalankan, cukup semua baru kita tuduh dan bawa ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP),” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Jumaat lalu, media melaporkan Polis Johor sedang mengesan tiga individu dipercayai terbabit dalam kes penipuan dokumen tukaran mata wang yang menggunakan nama TMJ.

Siasatan itu dijalankan selepas menerima satu laporan polis pada Khamis, berkenaan satu dokumen ‘letter of undertaking’ pertukaran mata wang dolar Amerika (AS$) kepada Ringgit Malaysia (RM) yang membabitkan nilai AS$200 bilion sehingga AS$5 trilion.

Tiga daripada suspek berkenaan membabitkan seorang wanita dengan gelaran Datuk Seri, seorang peguam dan seorang lelaki yang namanya digunakan sebagai pemilik akaun bank untuk sebarang transaksi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan dikenakan sebatan dan denda.

Dalam kes berasingan, Ayob berkata, polis menahan seorang tukang cat kereta sambilan yang disyaki mengeluarkan komen berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Twitter pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, suspek yang juga lelaki tempatan berusia 42 tahun itu ditahan di kediamannya di Ulu Tiram pada jam 9.25 malam.

Menurutnya, lelaki yang dipercayai pemilik akaun Twitter dengan nama zion74rey@reymizion74 itu bagaimanapun telah dilepaskan selepas selesai diambil keterangan.

“Siasatan dilakukan selepas polis telah menerima satu laporan daripada Ketua Unit Media Pejabat Komunikasi dan Keluarga Diraja Johor berkaitan satu kenyataan di akaun Twitter dipercayai milik suspek pada jam 2.03 petang.

“Menerusi hantaran itu, kita dapati ia turut mengandungi kenyataan berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor dan institusi Diraja Johor,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Polis Johor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here