‘Tingkat perolehan pil antiviral Molnupiravir jika terbukti berkesan’ – Zahid

0
1
zahid hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kerajaan segera mempertingkatkan perolehan penggunaan ubat antiviral Molnupiravir sekiranya ia didapati sangat berkesan di Malaysia.

Beliau berkata, ia bagi mengelak isu perolehan pada masa depan ekoran tindakan membolot oleh negara kaya seperti yang pernah diperkatakan tentang vaksin Covid-19.

“Malaysia memperoleh harapan baharu dalam usaha membendung sepenuhnya ancaman berbahaya pandemik Covid-19.

“Kerajaan Malaysia akan membeli ubat antiviral Molnupiravir yang didakwa telah terbukti secara klinikal dapat merawat pesakit Covid-19.

“Buat permulaan kerajaan telah membuat perjanjian perolehan ubat tersebut untuk 150,000 pesakit,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, data daripada ujian klinikal menunjukkan ubat itu paling berkesan apabila digunakan pada peringkat awal jangkitan.

“Bagaimanapun ramai juga tertanya-tanya mengapa Malaysia memilih Molnupiravir berbanding ubat lain.

“Antaranya Baricitinib, Dexamethasone, Remdesivir, Favipiravir, Ivermectin, Hydroxychloroquine, REGN-COV2 (Casirivimab/imdevimab),” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid meminta penjelasan mengenai kelebihan Molnupiravir berbanding ubat lain yang telah lama terhasil dan dilaporkan terbukti berkesan di negara lain.

“Sebagai contoh Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) pada Julai lalu dilapor berkata formulasi Baricitinib bagi mencegah risiko pesakit kategori satu dan dua Covid-19 daripada menghidap radang paru-paru sudah banyak digunakan di luar negara.

“Ubat Baricinab bersama-sama dengan remdesivir dikatakan terbukti berkesan untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital berdasarkan hasil kajian di luar negara.

“Justeru, perlu ada penjelasan lanjut mengenai perkara ini bagi meyakinkan rakyat terhadap langkah kerajaan menggunakan Molnupiravir di Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai kit ujian pantas antigen Covid-19 kendiri, Ahmad Zahid berkata, beliau berharap harga siling borong dan runcit baharu bagi kit ujian itu diturunkan secepat mungkin.

Katanya, ia bagi memastikan rakyat Malaysia dapat melakukan pemeriksaan kendiri sekerap mungkin sekali gus mengetahui pada peringkat awal kemungkinan telah dijangkiti.

“Seperti yang kita semua maklum mereka yang telah lengkap divaksin masih berisiko dijangkiti dan menjangkiti individu lain.

“Maka ia sangat penting dalam persediaan negara membuka sepenuhnya sektor ekonomi dan sosial tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Malaysia memutuskan menempah awal pil antiviral Molnupiravir meskipun belum mendapat kelulusan untuk penggunaan tempatan.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata langkah itu bagi mengelak Malaysia terlepas daripada mendapat bekalan pil berkenaan apabila terpaksa bersaing dengan negara lain berikutan permintaan yang tinggi.

Mengulas lanjut beliau berkata, penggunaan pil antiviral Molnupiravir akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here