PADA kadar jangkitan sekarang, negara berkemungkinan akan melepasi angka 2.5 juta kes untuk jumlah keseluruhan kes Covid-19 pada akhir bulan ini, kata veteran DAP Lim Kit Siang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata kerisauan atau pertanyaan seterusnya ialah adakah Malaysia dapat melepasi angka 3 juta jumlah keseluruhan kes Covid-19 pada Disember ini.
Menurutnya, keadaan ketika ini menunjukkan kemungkinan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin gagal dalam memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) dalam tempoh 100 hari seperti ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.
“Nampaknya KJ akan gagal dalam salah satu KPI 100 hari menjelang 7 Disember ini, iaitu gagal memastikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di bawah 2.5 juta kes.
“Pada kadar jangkitan sekarang, kita kemungkinan akan melepasi angka 2.5 juta untuk jumlah keseluruhan kes Covid-19 pada akhir bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kit Siang berkata, ketika Khairy dilantik sebagai Menteri Kesihatan pada 30 Ogos lalu, terdapat 1,725,357 kes terkumpul dan sejak itu berlaku peningkatan 698,121 kes, menjadikan setakat semalam jumlah kes Covid-19 adalah 2,323,478 kes.
“Adakah akan ada dasar atau pendekatan baru untuk memenangkan perang melawan pandemi Covid-19?” soalnya.
Terbaharu jumlah keseluruhan kes Covid-19 sejak wabak berkenaan melanda negara adalah 2,332,221 kes dengan 8,743 kes jangkitan baharu dilaporkan hari ini. – Malaysiapost

