PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Skuad Keluarga Malaysia yang akan menyelaras semua mekanisma penyampaian bantuan untuk rakyat yang memerlukan di seluruh negara di bawah satu jentera.
Menurutnya, skuad itu diterajui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beliau berkata, ia adalah kolaborasi pelbagai agensi di bawah kementerian berbeza, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, seramai 10,000 anggota Skuad Keluarga Malaysia telah bersedia untuk digerakkan ke segenap pelusuk negara, bagi membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik.
”Jumlah ini dijangka bertambah apabila lebih banyak kementerian dan agensi serta sukarelawan Keluarga Malaysia mendaftarkan diri.
“Bagi memastikan kejayaan idea Keluarga Malaysia ini, setiap kementerian dan agensi kini sedang giat mengenal pasti produk yang bersesuaian untuk diangkat menjadi sebahagian usaha membantu rakyat,” katanya ketika majlis Pra Pelancaran Keluarga Malaysia, di Auditorium Perdana, Wisma Radio Angkasapuri, hari ini.
Ismail Sabri berkata, skuad itu merupakan langkah untuk menyemai budaya khidmat, berorientasikan prestasi bagi meringankan beban Keluarga Malaysia, yang memerlukan bantuan dan sokongan.
Menurutnya, dalam usaha tersebut kerajaan akan memastikan setiap produk Keluarga Malaysia memberi impak positif seperti yang diharapkan.
Beliau berkata, kerajaan turut memperkenalkan mekanisme Keberhasilan Kebahagiaan (Key Happiness Outcome – (KHO) yang juga merupakan pelengkap kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
“Garis panduan ini akan dibentuk berasaskan nilai sejagat sedia ada, termasuk Indeks Kebahagiaan yang diguna pakai kebanyakan negara di seluruh dunia,” katanya. – Malaysiapost

