Sambutan hidupkan Umno lama di luar jangkaan – Ku Li

0
1

VETERAN Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa hasratnya untuk menghidupkan semula Umno lama telah mendapat sambutan luar jangkaan daripada ahli-ahli Umno.

Beliau berkata, sambutan yang baik telah diterimanya itu terdorong akibat kebimbangan ahli-ahli Umno mengenai kedudukan parti orang Melayu itu yang kian hilang cengkaman dalam landskap politik negara.

“Sejak akhir-akhir ini, ramai orang merasakan Umno baharu mungkin telah hilang taringnya, mungkin susah menghadap pilihan raya akan datang.
Harapannya nak Umno kembali berkuasa, tapi dalam keadaan sekarang susah nak kekal kedudukan dulu.

“Oleh itu, kita mengkaji semula kedudukan Umno lama boleh digerak semula, kerana kedudukannya mendapat sambutan bagus dan di luar jangkaan. Banyak yang suka melihat Umno lama aktif semula. Itulah yang kita bincang tadi.

“Mereka minta supaya saya teruskan kajian ini, tengok macam mana boleh ke mengubahkan keadaan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau yang mesra disapa Ku Li telah mengadakan perbincangan dengan beberapa ahli Umno di kediamannya di Ampang, hari ini.

Menurut Ku Li perbincangan itu dihadiri oleh beberapa veteran Umno yang merupakan Ahli Umno sejak Umno lama ditubuhkan, namun tidak aktif sebaik sahaja ianya diharamkan pada tahun 1988.

Mengulas mengenai bentuk kajian untuk menghidupkan Umno lama, Ku Li menjelaskan ianya dilakukan menerusi kajian politik oleh sesetengah pihak.

“Ikut kata diorang, memang boleh Umno lama digerakkan semula.

“Tak ada pertemuan, kajian-kajian yang dibuat secara random oleh sesetengah pihak untuk memberi kita pandangan apakah keadaan masa depan meyakinkan atau tidak. Ini kajian politik, kadang berubah-ubah,” katanya yang merupakan Ahli Parlimen Gua Musang.

Ditanya apakah perbezaan Umno sekarang dengan Umno lama, Ku Li mempunyai jawapannya tersendiri.

Katanya, beliau telah dinasihatkan untuk tidak mendaftarkan semula Umno lama dengan Suruhanjaya Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana Umno lama tidak pernah mati.

“Umno lama tak mati. Umno sekarang ni ialah parti yang ditubuhkan pada tahun 1988. Umno yang kita bincang tadi ialah Umno yang ditubuhkan 1946 dikatakan haram, dikatakan batal… sebenarnya tak berlaku dari segi undang-undang lah.

“Tak perlu (daftar ROS). Kalau tak mati buat apa nak beri oksigen,” katanya.

Umno diisyhtiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Pada 4 Februari, 1988.

Pengharaman itu berpunca daripada tindakan sekumpulan ahli-ahli Umno yang dikenali Kumpulan 11 yang memihak kepada Tengku Razaleigh mengheret parti itu ke mahkamah Ia bertujuan mencabar keputusan pemilihan parti yang telah berlangsung pada 24 April, 1987. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here