Nilai ‘Keluarga Malaysia’ berpaksi keluhuran Perlembagaan Persekutuan – PM

0
1

Nurul Huda Abhar

KONSEP dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadam, kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada yang dimiliki dalam setiap keluarga, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, apa yang dilakukan kerajaan adalah mengharmoni dan mengangkat nilai-nilai tersebut sebagai panduan mengukuhkan lagi kekuatan Malaysia, dengan keunikan pelbagai agama, bangsa dan kaum.

“Kesemua nilai Keluarga Malaysia adalah berpaksikan kepada Keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Rukun Negara.

“Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Manakala batang dan ranting menjulang kukuh nilai-nilai Keluarga Malaysia, yang kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur dan inayahnya, memanfaatkan rakyat. Inilah metafora Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pra Pelancaran Keluarga Malaysia, di Auditorium Perdana, Wisma Radio Angkasapuri, hari ini.

Ismail Sabri berkata, majlis pra pelancaran itu merupakan manifestasi hasrat dan komitmen kerajaan, untuk meningkatkan usaha menyebar luas konsep dan hala tuju Keluarga Malaysia, agar ia dapat difahami dan dihayati setiap lapisan masyarakat.

“Ia seiring dengan perjalanan kita memulih dan mengembalikan negara, daripada impak krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang sedang kita lalui,” katanya.

Menurutnya, dalam konteks negara, Keluarga Malaysia adalah terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, kaum dan usia meraikan ‘keterangkuman’ (inclusivity) dalam perbezaan, menjunjung semangat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.

“Kemajmukan yang kita raikan inilah yang menjadi benih yang membugar dalam hati setiap rakyat Malaysia.

“Kelangsungan ini merupakan aset yang mesti terus dipertahankan. Justeru, nilai setiap Keluarga Malaysia merupakan komponen penting demi menentukan jatuh, bangun bumi bertuah ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here