Ayuh Kisona, buktikan kepada pemimpin politik itu – Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap S Kisona tidak mengalah susulan komen berbaur perkauman dikeluarkan seorang pemimpin politik ketika pemain badminton perseorangan wanita negara itu beraksi dalam Piala Sudirman di Finland minggu lalu.

Ahmad Zahid berkata beliau percaya pemain berusia 23 tahun berasal dari Seremban itu akan bangkit dan mencipta kejayaan pada masa akan datang.

“Adat pertandingan ada kalah dan menang. Tewas sekali tidak bermakna kalah selama-lamanya. Justeru Kisona jangan mengalah. Tiba masa saya percaya anda mampu bangkit.

“Buktikan kepada pemimpin politik itu anda akan mencipta kejayaan di kemudian hari. Semangat kesukanan merentasi perbezaan kaum. Ia adalah tentang individu, kesungguhan dan peluang.

“Saya juga percaya kebiadaban mana-mana individu tiada kaitan dengan asal usul negerinya. Orang Kelantan elok budi bahasanya. Tahu menghormati dan saling menghormati. Maka seluruh rakyat Malaysia jadikan apa yang dilakukan pemimpin politik itu sebagai sempadan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu seterusnya berkata menang atau tewas dalam pertandingan sukan tiada kaitan dengan keturunan seseorang pemain.

“Kegagalan Bruno Fernandes menyempurnakan sepakan penalti untuk Manchester United juga tiada kaitan dengan asal usulnya,” katanya.

Baru-baru ini, Naib Ketua Bersatu Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung statusnya di Facebook yang menyentuh isu perkauman terhadap Kisona.

Beliau dilaporkan berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk merendah-rendahkan mana-mana individu atau kaum ketika menulis status di media sosial.

Sebelum itu dalam satu permohonan maaf bertulis ditandatanganinya yang tular di media sosial, Borhanuddin menawarkan diri melepaskan jawatan sebagai Naib Ketua Bersatu Bahagian Pasir Puteh demi menjaga nama baik parti diwakilinya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here