AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan menarik diri daripada menjadi calon Timbalan di-Pertua Dewan Rakyat.
Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Agung Umno itu menerusi media sosial miliknya hari ini.
“Saya telah maklumkan Presiden Umno, Timbalan Presiden serta tiba Naib Presiden termasuk Perdana Menteri yang saya menarik diri daripada dicalon Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
“Saya perlu masa tumpu kepada tugas Setiausaha Agung Umno dan terus bersuara di Parlimen. Hari ini saya maklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen) dan Speaker,” katanya.
Pada 14 September lalu, dilaporkan keengganan Bersatu menyokong Ahmad mengakibatkan pemilihan jawatan Timbalan Speaker terpaksa ditangguhkan.
Ahmad sebelum itu dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang meletakkan jawatan.
Sementara itu Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Nga Kor Ming sebagai calon bagi kerusi berkenaan di pihak pembangkang.
Terdahulu hari ini Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi kenyataan memaklumkan Majlis Pimpinan Tertinggi PN berpendirian tiada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada masa ini.
Menurutnya, kewujudan dua jawatan berkenaan ketika ini seperti termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat.
Beliau berkata, peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat mempengerusikan mesyuarat juga sudah memadai.
Muhyiddin berkata, pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan itu juga tidak termaktub dalam MoU antara kerajaan dan pembangkang, maka tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya. – Malaysiapost

