PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata tiada pihak di dunia ini yang dapat berkecuali daripada mempunyai kaitan dengan kewajipan berpolitik.
Abdul Hadi berkata, dalam dunia politik manusia dipecahkan kepada dua kumpulan, sama ada mereka menjadi pemimpin ataupun rakyat.
“Tiada siapa yang dapat mengeluarkan diri mereka kononnya mengambil sikap berkecuali daripada mempunyai sebarang kaitan dengan kewajipan berpolitik.
“Sama ada berada di hadapan atau di belakang termasuklah menjadi pengikut yang pasti hanyut bersama arus politik,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS di Facebook hari ini.
Abdul Hadi berkata, Allah SWT mengurniakan kekuasaan politik kepada orang yang diredhai menerima petunjuk-Nya dan diberikan juga kepada orang yang tidak mahu mengikut petunjuk-Nya.
Menurut Abdul Hadi, begitu juga harta kekayaan, ia diberikan kepada orang yang baik mahupun orang yang jahat.
“Semua kurniaan itu adalah semata-mata untuk menjadi ujian kepada manusia.
“Manakala, dalam dunia politik pula mereka dipecahkan kepada dua kumpulan, sama ada menjadi pemimpin ataupun rakyat. Semuanya mempunyai kaitan dengan politik,” katanya.
Malah, Abdul Hadi berkata, ia termasuklah juga mereka yang berkecuali, sekali-kali tidak boleh melepaskan diri daripada sebarang tindakan politik yang mempengaruhi keperluan kehidupan setiap orang.
“Perkara ini merangkumi soal makan dan minum, pakaian dan tempat kediaman, serta pergerakannya ke mana-mana tetap di bawah naungan politik.
“Allah SWT memaparkan contoh bahawa terdapat para pemimpin yang layak mendapat hidayah (petunjuk Allah SWT) dan juga tidak layak mendapatkannya.
“Al-Quran membawakan kisah benar berkenaan politik para pemimpin di dunia, sebelum perkara yang benar juga berlaku pada Hari Akhirat.
“Hal yang tersebut supaya manusia mengambil iktibar melalui pengajaran dan menerima suatu bentuk amaran,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, mereka yang mengikut petunjuk Allah SWT di dunia berbahagia di dunia dan di akhirat.
“Sedangkan sesiapa yang tidak mengikuti petunjuk-Nya, ada yang dibinasakan di dunia sebelum mereka dihukum di akhirat atau mendapat kedua-dua hukuman di dunia dan di akhirat.
“Allah SWT menceritakan betapa manusia yang menjadi rakyat juga akan dibicarakan bersama pemimpin yang menjadi ikutannya di dunia.
“Suratan amal yang akan diterima mengandungi pelbagai amalan di dunia merangkumi semua urusan kehidupan beribadat, amalan kehidupan dan sikap berpolitik, sama ada melibatkan dosa ataupun pahala,” katanya.
Beliau berkata, sehingga dibawakan cerita benar yang berlaku di alam akhirat, apabila para pengikut menyalahkan pemimpin.
“Allah SWT mendedahkan betapa ramai dalam kalangan manusia yang hidupnya seperti binatang kerana hidup semata-mata untuk makan dan bernafsu.
“Bahkan, mereka menjadi lebih teruk daripada binatang kerana tidak menggunakan akal yang dikurniakan oleh Allah SWT,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, setiap insan di dunia ini harus sedar bahawa kehidupan ini bukanlah sesuatu tempat untuk berseronok semata-mata.
“Maka, jangan dianggap hidup ini sekadar untuk makan dan tidur, mahupun berseronok dan bergembira sahaja dengan bersenang-lenang tanpa peduli kepada tujuan asal mereka diciptakan oleh Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

