MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan satu taklimat Rang Undang-Undang (RUU) Kementerian Kewangan (MOF) untuk Ahli Parlimen Kerajaan Keluarga Malaysia Backbenchers Club (BBC), semalam.
Beliau berkata, semua RUU itu dirangka untuk mendepani cabaran semasa yang tidak menentu, selari dengan agenda Kerajaan Keluarga Malaysia iaitu memacu pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat.
“Syukur semalam kami dapat adakan sesi taklimat Rang Undang-Undang Kementerian Kewangan untuk Ahli-Ahli Parlimen dari Kerajaan Keluarga Malaysia Backbenchers Club (BBC).
“Pihak MOF berbesar hati menyambut delegasi Ahli-Ahli Parlimen diketuai oleh Pengerusi Majlis BBC, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang sudi meluangkan masa dalam jadual sibuk masing-masing untuk hadir ke pembentangan ini,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, taklimat berkenaan diperlukan untuk memberi pencerahan kepada ahli-ahli Yang Berhormat daripada BBC tentang empat perkara.
Ia termasuk Kumpulan Wang Covid-19 (Pindaan) 2021 (KWC); RUU Kumpulan Wang Amanah Negara (Pindaan) 2021, RUU Perbekalan Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 dan RUU Akta Perbendaharaan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021.
Taklimat itu turut dihadiri, Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah; Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dan Pengarah Pejabat Belanjawan Negara Datuk Johan Merican. – Malaysiapost

