‘Kematian akibat Covid-19 ketika bertugas tanggungjawab majikan’ – Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu satu ketetapan diwujudkan untuk memastikan setiap majikan di negara ini bertanggungjawab terhadap kematian pekerja akibat Covid-19 semasa bertugas.

Beliau berkata, ia termasuk dalam urusan pengebumian, pampasan sehinggalah kepada kebajikan ahli keluarga mereka.

“Ini bukan suatu langkah menekan, sebaliknya bersandarkan kebertanggungjawaban dan kemanusiaan.

“Langkah ini juga akan memastikan majikan lebih serius dan bersungguh memastikan keselamatan pekerja mereka pada setiap masa,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau sedih apabila membaca berita mengenai dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Johor meninggal dunia akibat positif Covid-19 dalam tahun ini. 

Katanya, kedua-dua anggota berusia 55 tahun itu dijangkiti Covid-19 ketika melakukan tugasan operasi dan maut ketika menjalankan tanggungjawab kepada negara.

“Takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga anggota pasukan keselamatan yang terkorban akibat dijangkiti Covid-19 semasa menjalankan tugas.

“Sesungguhnya ini adalah pengorbanan yang nyata kepada tanah air. Saya percaya ahli keluarga para mangsa sedang mendapat pembelaan yang sewajarnya oleh kerajaan,” katanya.

Namun, Ahmad Zahid mempersoalkan nasib pekerja sektor bukan kerajaan yang terkorban akibat dijangkiti Covid-19 ketika bertugas.

“Bagaimana pula dengan pekerja sektor bukan kerajaan yang terkorban akibat dijangkiti Covid-19 semasa diarahkan bertugas oleh majikan? 

“Adakah ahli keluarga mereka akan turut mendapat pembelaan yang sewajarnya?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here