AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob didakwa sudah meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan).
Pegawai medianya, Mazlan Sanoh, berkata Yusof yang juga Ketua Penerangan Warisan mengambil keputusan itu dan menjadi Adun Bebas yang menyokong kerajaan.
Mazlan berkata, beliau dijangka akan mengumumkan secara rasmi pada minggu hadapan mengenai perkara itu.
“Ya, tadi (keluar parti). Minggu hadapan beliau akan umum,” katanya memetik Sinar Harian.
Menurut Mazlan lagi, Yusof mengambil keputusan itu demi rakyat dan mahu membantu rakyat di kawasannya.
“Datuk mahu bantu orang di kawasannya saja. Jadi, baik beliau jadi bebas dan sokong kerajaan yang ada.
“Sekurang-kurangnya beliau boleh bersuara,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu, Yusof mewakili Warisan berjaya menewaskan lima calon lain dengan jumlah undi sebanyak 5,415. – Malaysiapost
Foto : Borneo Post Online

