Isteri uzur terlantar, suami meninggal dunia dalam bilik air

0
1
Polis Di Raja Malaysia

SEORANG warga emas yang terlantar uzur hanya mampu menghidu bau mayat suaminya yang meninggal dunia dalam bilik air di rumah mereka di Taman Ria, Sungai Petani, Kedah.

Kematian lelaki berusia 79 tahun itu hanya disedari selepas jiran hari ini dengan bau busuk dari rumah pasangan berkenaan sebelum menghubungi anak mereka

Difahamkan, isteri mangsa yang berusia 80 tahun turut mengalami masalah nyanyuk dan hanya mampu terbaring di atas tilam di ruang tamu rumah mereka yang turut dikunci dari dalam.

Sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke rumah terbabit dan terpaksa memecah pintu sebelum pemeriksaan lanjut menemui mayat lelaki berkenaan dalam bilik air yang berkunci.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata pihaknya menerima panggilan daripada pegawai bomba pada jam 1.45 tengah hari yang memaklumkan penemuan mayat terbabit.

Katanya, susulan itu, polis bergegas ke lokasi kejadian dan hasil siasatan mendapati mangsa meninggal dunia lebih daripada 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang sudah berulat.

“Anak pasangan terbabit memberitahu bapanya hanya tinggal berdua bersama ibu yang sudah nyanyuk di rumah itu dan dia akan datang melawat serta membawa makanan sekali dalam seminggu untuk ibu bapanya.

“Anak mangsa mendakwa kali terakhir dia bertemu bapanya pada 23 September lalu dan memberitahu yang mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit.

“Dia juga mendakwa bapanya tidak pernah mendapatkan sebarang rawatan di klinik atau hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian lelaki terbabit.

“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here