AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan tugas Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang sewajarnya menjadi agensi yang melarang kuasa mutlak terletak pada seseorang individu.
Beliau berkata, isu pegawai kanan SPRM yang ditahan amat menggusarkan apabila ada tuduhan yang menyatakan pegawai yang disiasat memang bermasalah dan tidak boleh disentuh, kononnya ‘istimewa’.
“Isu SPRM mesti ada kesudahan. Ia boleh menghakis imej kerajaan baharu jika penjelasan dan tindakan tegas tidak diambil.
“SPRM terpalit dengan berbagai pendedahan dan tuduhan yang tidak boleh disapu di bawah tikar.
“Kini ada tuduhan kehilangan duit yang disita itu baru sikit sahaja yang terdedah. Apakah kehilangan duit bahan bukti pernah berlaku sebelumnya?,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Salah seorang pegawai SPRM, yang ditahan susulan kehilangan RM25 juta wang bahan bukti, disifatkan sebagai bermasalah tetapi rapat dengan orang ternama, memetik laporan MalaysiaKini.
Pegawai tersebut juga mempunyai nama jolokan iaitu ‘penyamun anak emas’.
SPRM sebelum ini menahan tiga pegawainya selepas bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid membuat laporan bahawa sejumlah besar wang tunai yang dirampas dalam siasatan terhadapnya pada 2018 hilang.
Sementara itu, Mohd Puad berkata, bagaimana dengan imej SPRM sebagai agensi membenteras rasuah sedangkan pegawai sendiri bermasalah.
“Kalau pegawai sendiri bermasalah dan ada tuduhan wujud orang kebal dalam SPRM maka apa jaminan rasuah dapat dibenteras seadilnya?,” katanya. – Malaysiapost

