[PARLIMEN] KERJA mengubah suai dan naik taraf Kompleks Seri Perdana dilakukan setelah mengambil kira faktor-faktor keselamatan Perdana Menteri.
Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan antara faktor lain termasuk memastikan imej negara dalam menyambut tetamu utama negara semasa program-program rasmi Perdana Menteri.
“Pengubahsuaian ini meliputi skop-skop utama seperti penambahbaikan pendawaian elektrikal, mekanikal, serta sistem pendingin hawa dan pengubahsuaian struktur di Blok Kediaman Rasmi.
“Serta penggantian perabot-perabot rasmi yang telah uzur dan daif, sesuai dengan status kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia,” menurut jawapan bertulis bertarikh 27 September itu.
Perdana Menteri menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai status projek ubah suai kediaman rasmi Perdana Menteri kelapan di Seri Perdana yang dikatakan membabitkan kos RM30 juta.
Mahfuz juga ingin tahu justifikasi projek itu perlu dibuat semasa rakyat berperang dan terkesan dengan pandemik Covid-19 selain komponen dan skop yang terlibat.
Memetik jawapan bertulis tersebut, status pengubahsuaian kediaman rasmi itu pada masa ini dilaksanakan sebagaimana dijadualkan yang mana sehingga 31 Ogos lalu, prestasi semasa kerja-kerja pengubahsuaian telah mencapai 60 peratus kemajuan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Laman Web PMO

