[PARLIMEN] AHLI Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz minta kerajaan menilai semula keputusan meletakkan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sebaliknya, beliau berkata, program itu mesti dikekalkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagaimana yang dilaksanakan sejak 2002.
Katanya, langkah meletakkan MM2H di bawah KDN berbeza dengan tujuan sebenar program itu dilaksanakan iaitu menarik orang yang sudah bersara untuk menetap di negara ini.
“Setiap tahun, dianggarkan MM2H memberikan hasil RM4 bilion setahun melalui perbelanjaan yang digunakan peserta program itu,” katanya dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Nazri, daripada perincian sumbangan MM2H dari 2002 hingga 2019 menjangkau RM37 bilion membabitkan 57,407 peserta skim itu, justeru MM2H perlu terus dipertahankan dan jika boleh syarat penyertaan skim ini dipermudahkan.
“Sejak kebelakangan ini, saya dengar KDN akan mengambil alih program ini, saya bimbang apabila diletakkan di bawah KDN, syarat lebih ketat dikenakan.
“Sebelum ini pun, banyak permohonan MM2H ini ditolak Jabatan Imigresen tanpa sebarang alasan dan jika ia terus diletakkan di bawah KDN mungkin lebih ramai lagi yang tidak dapat menyertainya,” katanya.
Bekas Menteri Pelancongan itu juga membangkitkan kebimbangan syarat yang ketat dikenakan kepada peserta MM2H sedia ada termasuk syarat menginap hanya dihadkan kepada 90 hari saja.
“Sebelum ini tiada had masa menginap ditetapkan untuk peserta MM2H dan jika ini ditetapkan 90 hari ini bertentangan dengan tujuan kita laksanakan skim ini iaitu menarik orang bersara tinggal di negara ini sebagai rumah kedua selepas persaraan,” katanya.
Tambah Nazri, KDN jangan fikir setiap peserta MM2H ini ada agenda yang boleh menggugat keselamatan negara.
Setakat ini, katanya, daripada 57,407 peserta MM2H tiada seorang pun pernah didakwa dan ditahan kerana terbabit dengan jenayah di negara ini.
Justeru, Nazri menegaskan, sekali lagi menggesa kerajaan pertimbangkan semula cadangan meletakkan program itu di bawah KDN dan langkah mahu memperkenalkan syarat ketat yang hanya menyebabkan peserta ‘lari’ ke negara jiran seperti Indonesia dan Thailand. – Malaysiapost

