Sittah Annur mohon pengikut kembali kepada ajaran Islam sebenar

0
1

KETUA ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) Sittah Annur meminta pengikutnya segera menghentikan kepercayaan atau ajaran itu dan kembali kepada Islam yang benar.

Dia juga meminta semua pihak semua pihak yang mendengar, mengikuti, mempercayai pernyataan tentang mimpinya agar segera menghentikan kepercayaan atau keyakinan berkenaan perkara itu.

Sittah Annur atau nama sebenarnya Masitah Ab Jalar turut menyeru orang ramai untuk merujuk dan mendapatkan nasihat dari saluran yang betul sekiranya mempunyai masalah berkaitan kepercayaan agama.

Sehubungan itu, katanya, dia melafazkan taubat hari ini bagi menunjukkan keikhlasan dan sebenar-benarnya menginsafi perbuatannya.

“Saya Masitah Ab Jalar, sesungguhnya membuat pengisytiharan ini dengan suci hati, penuh keinsafan dan keikhlasan, sesungguhnya tiada sebarang paksaan dari mana-mana individu atau mana-mana pihak melainkan dengan kesedaran diri sendiri.

“Bahawa saya sebelum ini telah mengeluarkan suatu pernyataan yang bertentangan dengan hukum syarak dan ianya juga suatu yang terkeluar dari pemahaman manusia pada lazimnya tentang mimpi saya.

“Bahawa antaranya, dengan mimpi saya itu, saya telah menyatakan kepada umum bahawa di dalam dan berdasarkan mimpi, saya telah diberitahu oleh Allah SWT bahawa saya adalah seorang yang mengetahui tentang sesuatu peristiwa yang bakal berlaku.

“Saya telah menyatakan kepada umum bahawa di dalam dan berdasarkan mimpi, saya telah diberitahu cara kematian saya, abang kandung saya dan anak saya; saya juga telah menyatakan kepada umum bahawa di dalam dan berdasarkan mimpi, saya adalah seorang yang akan menyelamatkan mereka yang melakukan perbuatan ahli neraka atau ahli maksiat dari dimasukkan ke neraka di hari pembalasan nanti.

“Selain itu, saya telah menyatakan kepada umum bahawa di dalam dan berdasarkan mimpi, saya telah berinteraksi dan berkomunikasi dengan malaikat, dengan Rasulullah SAW dan dengan dzat Allah SWT sehingga akhirnya saya diberi amanah oleh dzat Allah SWT untuk menyelamatkan dan mengeluarkan seseorang dari seksaan api neraka,” katanya secara langsung dalam Majlis Pengisytiharan Taubat di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam.

Mengulas lanjut, dia turut menyatakan kepada umum bahawa di dalam dan berdasarkan mimpi, dirinya mendapat anugerah memiliki nur atau cahaya dari Allah SWT melalui malaikat yang menjaga sirat sebagai seorang yang akan menjadi penyuluh laluan di titian sirat dan akan menyelamatkan orang yang berjalan berpandukan nur yang dimilikinya dari jatuh ke lubang neraka.

“Dan saya telah menyatakan kepada umum bahawa di dalam dan berdasarkan mimpi, saya bertemu dengan Imam Mahdi di atas arasy; semua manusia mesti mencari Imam Mahdi sebagai penyelamat dari huru-hara yang akan berlaku di dunia ini.

“Pelbagai lagi perkara yang bercanggah dengan premis pengambilan hukum syarak atau syariat Islam untuk menjadi pegangan dan sandaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here