SEORANG penghantar makanan membuktikan kegigihannya bekerja sambil belajar selama empat tahun membuahkan hasil apabila berjaya beroleh Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Teknologi Farmaseutikal.
Kejayaan Mohd Akmal Azhar, 36, itu dikongsikan di laman Facebook FoodPanda Rider Malaysia dan tular di media sosial hari ini.
Anak jati Selangor itu menyambung pengajian di Universiti Malaysia Pahang, Gambang dan mula menjadikan penghantar makanan sebagai kerjaya sepenuh masanya sejak setahun lalu.
“Saya bekerja sebagai ‘rider’ secara sepenuh masa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pekerjaan ini banyak mengajar saya tentang ‘soft skills’, cara berkomunikasi dan memupuk sifat sabar serta kemahiran pengurusan masa.
“Biasanya pada waktu pagi saya akan menghabiskan masa untuk bekerja dan pada sebelah malam saya akan menyiapkan penulisan tesis.
“Jika kerja yang melibatkan kehadiran di Universiti saya akan mengambil cuti, setakat ini Alhamdulillah Allah SWT permudahkan segala urusan,” katanya seperti dilaporkan Kosmo.
Mohd Akmal yang sudah mendirikan rumah tangga, mengucapkan terima kasih kepada isterinya kerana banyak memberi sokongan dan memahami rutin hariannya sebagai pelajar.
“Cabaran utama saya adalah berkenaan masa dan tenaga, kerana buat masa ini menjadi ‘rider’ adalah merupakan sumber pendapatan utama, jadi memerlukan pembahagian masa yang begitu seimbang,” katanya.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kagum dengan kesungguhan pemuda itu dalam menuntut ilmu pada masa yang sama rajin berusaha mencari rezeki untuk keluarga. – Malaysiapost

