Nurul Huda Abhar
BERSATU perlu ada keupayaan dari segi jentera parti yang besar dan menampilkan calon yang mencukupi untuk bertembung tiga penjuru pada Pillihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata Bersatu berhak bertanding sebanyak mana kerusi pada PRU15 dengan syarat mempunyai keupayaan untuk bertanding di semua kawasan.
“Sebab kalau Bersatu mahu bertanding dalam banyak kerusi dan berdepan dengan Umno pertamanya, Bersatu perlu ada calon yang mencukupi.
“Kerana dahulu Bersatu hanya bertanding beberapa kerusi sahaja jadi jika mahu bertanding lebih banyak kerusi Bersatu perlu lebih ramai calon yang boleh menandingi parti lawan.
“Selain itu, Bersatu perlu ada jentera parti yang besar yang boleh menggerakkan kempen dan sebagainya. Itu adalah perkara yang akan diambil kira jika sebuah parti itu mahu bertanding,” katanya kepada Malaysiapost.
Mohd Izani berkata, jika dikira dari segi kelebihan pastinya Umno ada penguasaan kerana parti itu sudah ada pengikut yang ramai, serta mempunyai bahagian dan cawangan yang lebih banyak.
“Dari faktor itu Umno ada lebih banyak kelebihan. Jika Bersatu mahu bertanding dalam banyak kerusi terutama berdepan dengan Umno faktor-faktor yang dinyatakan tadi perlu diambil kira,” ujarnya.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan hubungan kedua-dua parti Melayu itu masih dalam keadaan samar.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu turut menegaskan beliau sendiri sukar meramalkan masa hadapan hubungan antara Bersatu-Umno, namun mengakui kerjasama antara dua parti itu masih wujud ketika ini.
Beliau memaklumkan dalam menuju PRU15, Perikatan Nasional (PN) tidak akan terganggu dengan sebarang kemungkinan pertembungan pelbagai penjuru.
Sementara itu, Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub, berkata kenyataan Muhyiddin itu jelas menunjukkan beliau masih menaruh harapan kepada Umno untuk bersama Bersatu dalam PN bagi menghadapi PRU15.
“Veteran Umno Malaysia ingin menyedarkan Muhyiddin bahawa bagi Umno sudah terang lagi bersuluh tiada sebarang kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15. Keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) dengan jelas Umno menolak Bersatu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mustapha, Ahli Parlimen Pagoh itu sedar bahawa Bersatu tidak berkemampuan untuk berdepan dengan Umno dalam PRU15.
Katanya, Bersatu tidak mempunyai jentera untuk digerakkan pada pilihan raya dan parti itu juga sedar PAS tidak dapat membantu kerana akan menumpukan jenteranya bagi calon-calon PAS.
“Hanya Umno dapat membantu Bersatu terutama untuk mengekalkan 16 kawasan lompat yang bakal dirampas semula oleh Umno.
“Oleh yang demikian Muhyiddin jangan membuang masa dengan menaruh harapan kerjasama Umno dengan Bersatu dalam PRU15. Umno telah berbulat tekad tidak akan bersama dengan Bersatu. Sudah berkerat rotan berputus arang. Bercerai talak tiga dan tak boleh rujuk lagi,” katanya. – Malaysiapost

