MALAYSIA perlu dilihat berkecuali dalam menangani kontroversi yang dicetuskan pakatan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).
Pakatan Harapan (PH) menerusi kenyataan Jawatankuasa Keselamatan, berkata ianya selari dengan Kertas Putih Pertahanan yang telah diluluskan di Parlimen secara dwipartisan pada 2 Disember 2019.
“Salah satu daripada lima prinsip asas pertahanan yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan adalah “Keneutralan aktivis”
“Iaitu mengamalkan dasar berkecuali dan mempromosikan kerjasama dengan memberi penekanan terhadap keterangkuman dan perkongsian kemakmuran, seiring dengan perkongsian keselamatan dan perkongsian identiti.
“Keneutralan aktivis tidak bermaksud Malaysia berpeluk tubuh apabila ada percubaan untuk menjejaskan kedaulatan negara dan sikapnya untuk berkecuali,” kata kenyataan itu, hari ini.
Justeru, PH berkata, cadangan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bakal mengadakan lawatan kerja ke China bagi membincangkan kemelut AUKUS disifatkan agak aneh dan menimbulkan persepsi seolah-olah Malaysia menerima arahan daripada China.
Menurut PH, Malaysia seharusnya bersuara lantang terhadap kuasa Barat sekiranya berlakunya persaingan senjata di rantau ini.
“Pada masa yang sama, Malaysia juga perlu mempengaruhi China secara aktif supaya menghormati kedaulatan negara-negara serantau, serta peranan ASEAN di rantau ini.
“Kita tidak boleh dilihat memihak dan memberi gambaran bahawa Malaysia menerima arahan daripada mana-mana pihak,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, PH menegaskan pendirian pembangkang terhadap AUKUS adalah sama dengan pendirian rasmi kerajaan Malaysia yang menyatakan kebimbangan bahawa AUKUS bakal mencetuskan persaingan senjata di rantau ini. – Malaysiapost

