Tiada hati perut, pengasuh cuba bunuh bayi 7 bulan ditahan

0
1
Polis Di Raja Malaysia

POLIS menahan seorang pengasuh kerana cubaan membunuh seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan mendapati pengasuh wanita yang berusia 22 tahun itu telah menghempas kepala bayi sebanyak dua kali ke lantai kerana berang bayi itu tidak berhenti menangis.

Katanya, pada jam 7.30 pagi, 22 September lalu, bayi tersebut dihantar oleh bapanya ke rumah pengasuh dalam keadaan sihat dan baik.

“Bapa mangsa telah dihubungi pengasuh berkenaan pada jam 2.35 petang untuk datang mengambil bayinya kerana mangsa dikatakan terjatuh daripada ‘baby walker’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun Faridalathrash berkata, bapa mangsa mendapati kepala anaknya kelihatan bengkak dan pengasuh itu mendakwa anaknya itu terjatuh ketika didukung.

Bayi lelaki itu kemudian dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan mendapati mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepala retak.

“Mangsa dilaporkan tidak sedar diri dan kritikal. Saspek berhenti melakukan perbuatan tersebut setelah menyedari mangsa mula tidak sedarkan diri,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, polis membuka kertas siasatan terhadap kes tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 kanun keseksaan kerana cubaan membunuh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here