SEBARANG usaha membawa DAP kembali ke Putrajaya dalam satu jajaran baru hanya akan menyebabkan usaha pemerkasaan Bumiputera terhalang, kata Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli.
Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi laporan media yang menyatakan ‘Syarat 51 peratus pemilikan Bumiputera tidak berpelembagaan’. Katanya, kenyataan Guan Eng tersebut membayangkan bahawa DAP tidak mahu melihat ekuiti Bumiputera dipertingkatkan.
“Sebagai sebuah negara yang terasnya Bumiputera, kita wajib berusaha mempertingkat pemilikan ekuiti di kalangan Bumiputera.
Tetapi DAP tidak pernah selesa dengan agenda ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. Khairul Anuar berkata, kenyataan Guan Eng menerusi laporan media itu jelas menyebut ketika memegang jawatan Menteri Kewangan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) beliau menolak cadangan pelaksanaan syarat 51 peratus pemilikan Bumiputera dalam syarikat penghantar fret.
“Inilah sikap DAP yang kita mesti lawan. Apabila tiba ke agenda Bumiputera, ada sahaja alasan yang diberikan,” katanya.
Terdahulu, Guan Eng memaklumkan menolak cadangan pelaksanaan syarat 51 peratus pemilikan Bumiputera dalam syarikat penghantar fret ketika menjadi Menteri Kewangan dalam kerajaan PH.
Memetik laporan portal Free Malaysia Today, Ahli Parlimen Bagan itu memberitahu bahawa cadangan pelaksanaan syarat terbabit dibangkitkan ketika beliau memegang jawatan berkenaan tetapi ia tidak diluluskannya.
Beliau berkata, jika mana-mana pemilik syarikat penghantar fret mengalami kerugian akibat pelaksanaan syarat 51 peratus pemilikan Bumiputera itu, kerajaan bertanggungjawab membayar pampasan kepada mereka.
“Ia tidak adil kepada mereka yang telah membina dan melabur dalam syarikat ini sejak bertahun-tahun berdasarkan syarat sedia ada dan secara tiba-tiba ia berubah tanpa mengikut laluan yang betul,” katanya.
Katanya, langkah itu juga akan memberi isyarat yang salah kepada para pelabur bahawa dasar kerajaan boleh diubah sewenang-wenangnya. – Malaysiapost

