Kerajaan tidak perlu pinda Perlembagaan – Kit Siang

0
1
Kredit: Twitter LKS

VETERAN DAP Lim Lit Siang menyifatkan tiada keperluan di mana-mana yang mengatakan kerajaan perlu meminda Perlembagaan sekiranya mahu menerima keputusan Mahkamah Tinggi yang mengatakan kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh seorang ibu warganegara Malaysia layak untuk menerima kerakyatan melalui proses undang-undang.

Sebaliknya Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menasihatkan kerajaan agar merendah diri dan mengakui kesilapannya sebelum ini.

“Inilah masanya untuk menteri-menteri Kabinet menunjukkan kebolehan mereka sama ada mereka ini adalah pembuat dasar atau hanya pak turut dan mak turut.

“Sama ada kerajaan akan meminda Perlembagaan itu sendiri adalah isu yang berbeza dan tidak boleh dikelirukan dengan komitmen kerajaan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan menghormati hak asasi manusia rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, apa yang Kabinet perlu lakukan adalah untuk menerima keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan kerakyatan automatik kepada kanak-kanak ini dan mengarahkan Peguam Negara untuk menarik semula permohonan rayuannya.

“Mesyuarat Kabinet hari ini perlu menerima keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan kerakyatan secara automatik kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia dengan bapa warga asing dan mengarahkan Peguam Negara untuk menarik semula sebarang rayuan

“Tidak ada keperluan untuk Kabinet mempertimbangkan lagi isu kanak-kanak yang lahir di luar negara daripada seorang ibu warganegara Malaysia dan bapa bukan warga negara ini,” katanya.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing, berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Hakim Datuk Akhtar Tahir, yang membuat keputusan itu dalam penghakimannya berkata, perkataan ‘bapa’ dalam jadual kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.

Beliau membuat keputusan itu ketika membenarkan saman pemula, difailkan bagi menuntut perisytiharan anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan rakyat asing secara automatik layak memperoleh kewarganegaraan walaupun mereka dilahirkan di luar negara.

Bagaimanapun, dilaporkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memaklumkan, kerajaan memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here