MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan kemungkinan dos ketiga vaksin Covid-19 akan diberi terlebih dahulu sebelum dos penggalak, mulai bulan depan.
Beliau berkata, perkara itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Covid-19 (JKJAV) akan datang bagi menentukan garis panduan dalam pelaksanaan tersebut.
“Sekarang ini kita sedang membangunkan garis panduan berkenaan dengan pelaksanaan pemberian dos ketiga dan juga dos penggalak yang akan dibentangkan dalam mesyuarat JKJAV akan datang.
“Saya yakin kita akan mula memberi dos ketiga dahulu selepas itu dos penggalak bermula bulan depan apabila kita sudah dapat pandangan dan panduan klinikal daripada pakar serta pendaftaran bersama Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya dalam sidang media hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan secara terperinci perbezaan dos ketiga vaksin Covid-19 dengan dos penggalak.
Katanya, dos ketiga diberikan kepada individu di mana respon sistem imun mereka terhadap dua dos tidak mencukupi dan memerlukan dos ketiga untuk respon sistem imun optimum bagi melawan Covid-19.
“Manakala dos penggalak pula bagi mereka yang mana dos kedua sudah cukup, tetapi dalam beberapa bulan respon imun itu mula berkurangan dan dos pengalak akan diberi sebagai peransang kepada sistem imun supaya ia lebih berkesan terhadap Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

