PEGAWAI polis syariah, Wilayatul Hisbah menahan lebih 30 orang kerana memakai pakaian ketat dan tidak menepati undang-undang agama.
Memetik Antaranews.com, operasi tersebut dilakukan di depan pejabat Ketua Daerah Aceh Barat di Meulaboh, Indonesia.
Ketua Jabatan Polis Wilayatul Hisbah Aceh Barat, Dodi Bima Saputra berkata, mereka ditahan selepas didapati memakai pakaian tidak mengikuti undang-undang agama.
“Lebih 30 orang yang ditangkap, semuanya memakai pakaian ketat, sementara yang lelaki pula memakai seluar pendek,” katanya di Meulaboh semalam.
Dodi berkata, operasi itu dilakukan sebagai usaha meningkatkan syiar Islam serta menegakkan penerapan hukum agama di Aceh.
Katanya, ini bertepatan dengan Qanun (Peraturan Daerah) Nombor 6 Tahun 2014 mengenai Hukum Jinayat termasuk Undang-Undang Penerapan Syariat Islam di Aceh.
Beliau berkata, kebanyakan mereka yang ditahan dalam operasi itu merupakan penduduk di luar Aceh Barat.
“Mereka yang ditahan akan dibimbing petugas Wilayatul Hisbah dan diberi nasihat agar di masa depan tidak akan mengulangi perbuatan yang sama lagi.
“Buat masa ini, mereka yang ditahan akan diberikan panduan, mereka tidak akan dikenakan sebatan,” katanya. – Malaysiapost

