AHLI Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menggesa Kementerian Kewangan menarik balik keputusan membenarkan syarikat nombor ramalan melaksanakan 22 cabutan khas judi pada tahun ini.
Beliau berkata tindakan itu tidak akan merugikan negara malah akan mendapat pujian daripada banyak pihak.
“PAS telah menyatakan komitmennya yang tegas untuk menghapuskan semua industri dosa dan aktiviti ekonomi gelap dalam negara yang dikatakan berjumlah ratusan bilion setahun.
“Ia nyata bukan satu jalan benar bahkan merosakkan ekonomi dan menjauhkan negara daripada memperolehi keberkatan Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata tindakan Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini yang telah mengurangkan jumlahnya sebelum ini adalah betul dan wajar dipuji.
“Sewajarnya Kerajaan hari ini mengekalkan keputusan tersebut, malah terus menggerakkan segala usaha positif dan menjauhkan rakyat daripada terus terjebak ke aktiviti buruk tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, membenarkannya semula cabutan khas ini adalah satu tindakan undur ke belakang yang pastinya ditolak agama dan majoriti rakyat.
“Adalah telah diterima umum bahawa bahaya dan kerosakan akibat aktiviti perjudian ke atas individu dan masyarakat adalah melangkaui agama dan kaum.
“Ia hanya memerlukan ‘political will’ daripada mana-mana parti politik dan kerajaan untuk bertindak membendungnya,” katanya.-Malaysiapost

