POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses membawa pulang usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajjad yang ditahan di Thailand 8 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata permohonan itu akan dibuat dalam tempoh masa yang terdekat.
“Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan proses untuk membawa pulang orang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Abd Jalil turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan provokasi yang boleh menganggu siasatan polis.
“PDRM turut menyeru orang ramai tidak berkongsi maklumat salah berkaitan isu ini yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni dan menggugat ketenteraman awam,” katanya.
Muhammad Sajjad ditahan pegawai imigresen Thailand pada 8 September kerana pasport tidak sah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM8,343 pada 10 September.- Malaysiapost

