PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah pencegahan sewajarnya dalam keghairahan menunggu kelonggaran merentas negeri.
Ahmad Zahid berkata, beliau tahu pasti ramai gembira dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, yang akan membenarkan aktiviti rentas negeri selepas negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.
Katanya, ini sekali gus memberi bayangan bahawa kurang sebulan daripada sekarang kelonggaran itu dapat diberikan kepada rakyat seperti mana dijangkakan kerajaan.
“Ramai terlalu rindukan kampung halaman, mahu bertemu sanak saudara dan melancong.
“Namun bukan mahu “spoiler” kegembiraan semua, cuma mahu memperingatkan dalam keseronokan kembali merentas negeri teruskan berhati-hati menjaga diri terhadap risiko jangkitan Covid-19,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad Zahid berkata, beliau terpaksa membuat pesanan dan ingatan berkenaan kerana tidak mahu situasi suka boleh merentas negeri akhirnya bertukar duka.
“Pesanan ini kerana saya amat mengambil berat keselamatan dan kesihatan anda semua,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, rakyat perlu prihatin terhadap fakta bahawa virus Covid-19 masih aktif di Malaysia dengan varian baharu yang lebih mudah menjangkiti selain berada di persekitaran kita.
“Kedua, mereka yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 masih berisiko dijangkiti walaupun tiada gejala atau hanya mengalami gejala kategori 1 dan 2.
“Ini bermaksud individu positif Covid-19 mungkin tidak menyedari telah dijangkiti dan berpotensi menjangkiti individu lain ketika melakukan aktiviti rentas negeri sekali gus mengundang penularan,” katanya.
Sebagai contoh, Ahmad Zahid berkata, seramai 10 daripada 8,507 pengembara yang disaring sebelum dibenarkan masuk ke Langkawi setakat 17 September lalu didapati positif Covid-19 dengan lima lagi merupakan kontak rapat.
“Mujur mereka dikenalpasti kerana yang mahu ke Langkawi perlu menjalani ujian Covid-19 memandangkan ia merupakan projek rintis gelembung pelancongan domestik.
“Bagaimanapun tiada kewajipan bagi mereka yang akan pulang ke kampung anda mesti menjalani ujian Covid-19 selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, masih ada dalam kalangan rakyat negara ini masih belum divaksin terutama golongan remaja dan kanak-kanak.
Sehubungan itu, katanya, mereka yang belum mempunyai perlindungan imunisasi itu sangat berisiko jika dijangkiti.
“Justeru, pada pandangan saya mereka yang mengalami sebarang gejala atau berasa kurang sihat wajar melakukan ujian kendiri sebelum berhasrat merentas negeri sebagai langkah berjaga-jaga.
“Bagus juga ujian kendiri dapat dilakukan oleh mereka yang tiada gejala. Ini untuk mengelak penularan Covid-19 dengan diri kita sebagai punca. Pasti tiada siapa mahu melihat ahli keluarga atau orang tersayang jatuh sakit,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu rakyat teruskan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan sebagainya walau di mana berada.
“Begitu juga tentang kebenaran kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang kembali dibenarkan beroperasi pada kapasiti 100%.
“Majikan perlu memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat walaupun syarat ditetapkan semua pekerja mereka telah lengkap divaksin,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, ini kerana pekerja yang tidak sedar telah dijangkiti boleh menjangkiti ramai rakan sekerja terutama dalam persekitaran kerja tertutup kerana jangkitan bersifat “airbone”.
“Apatah dalam persekitaran kerja yang sukar mengamalkan penjarakan fizikal. Selain keselamatan pekerja, keselamatan anggota keluarga mereka perlu juga dititikberatkan.
“Pekerja yang tidak sedar telah dijangkiti di tempat kerja boleh menularkan jangkitan kepada ahli keluarga apabila pulang ke rumah termasuk terhadap anak-anak yang belum divaksin,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, dalam kegirangan merentas negeri perlu sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya. “Prevention is better than cure”.
Semalam, Perdana Menteri memaklumkan rakyat dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata, perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikannya semalam.
Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan turut membenarkan pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan apabila mencapai kadar vaksinasi berkenaan. – Malaysiapost

