SEBANYAK 9,015 kes keganasan rumah tangga dilaporkan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun, berkata berdasarkan statistik polis, jumlah kes keganasan rumah tangga bagi tahun 2020 ialah sebanyak 5,260 kes dan menunjukkan penurunan jika dibandingkan dengan 2019 iaitu sebanyak 5,657.
“Manakala bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 ialah sebanyak 4,905 kes dilaporkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Rina yang menjawab soalan Datuk Nizar Zakaria (BN-Parit) berkata terdapat 4,110 kes dari Mac 2020 hingga akhir tahun lalu.
Justeru, Rina menjelaskan, kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif membendung masalah itu, termasuk melalui Talian Kasih yang boleh dihubungi melalui talian hotline di 15999 atau di WhatsApp di 019 2615999.
“Perkhidmatan ini tersedia 24 jam sebagai tempat komunikasi untuk menyalurkan aduan, mendapatkan nasihat dan mendapatkan akses ke bantuan yang tersedia dari kementerian, termasuk layanan psiko sosial,” katanya.
Rina berkata, sebanyak 2,286 aduan diterima melalui Talian Kasih dari Mac hingga Disember 2020, diikuti 2,248 aduan dari Jan hingga Ogos tahun ini. – Malaysiapost

