‘Beri satu lagi peluang, dia seorang yang baik’ – adik Sajjad

0
1

“DIA seorang yang baik, anak yang patuh dan taat,” kata Nur Mustika, adik kepada usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamarul Zaman.

Mustika atau Ika turut merayu kepada semua pihak agar memberi satu lagi peluang kepada abangnya bagi menebus kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Saya juga harap dia sempat diberi satu lagi peluang kerana sepanjang hidupnya.

“Saya minta masyarakat dan sesiapa juga yang mengikuti perkembangan Ajad (Muhammad Sajjad) untuk mendoakan kebaikan untuk dirinya seperti mana kami sekeluarga mendoakan semua.

“Memang ujian ini berat untuk saya dan keluarga, bagaimana perasaan kami ini hanya Allah SWT yang tahu,” katanya dalam temubual bersama Harian Metro.

Mustika berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan Muhammad Sajjad atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat pada Febuari lalu dan pernah menegur abangnya itu berkenaan kontroversi sebelum ini.

Katanya, sebagai adik yang rapat dengan Sajjad, dia berharap abangnya kuat dan berjaya menempuh segala dugaan.

“Apapun saya boleh katakan, sebagai manusia, Ajad seorang yang baik, bertanggungjawab dan sangat suka membantu orang. Saya sendiri pun tak mampu buat seperti mana dia.

“Sebab itu saya harap orang ramai tidak hanya menghukum atau melabel dia teruk dan sebagainya, sebaliknya beri dia dorongan dan semoga semua kesilapan sempat diperbetulkan,” katanya.

Menjawab mengenai penahanan usahawan kosmetik itu, Mustika memberitahu dia hanya mengetahui berita tersebut menerusi laporan media tempatan pada Isnin lalu.

Jelasnya, bagi pihak ahli keluarga tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan namun sedikit ragu dengan berita penahanan tersebut berikutan tiada bukti menunjukkan Sajjad ditahan di Thailand.

“Sebelum ini bila dia ditahan, ada bukti gambar dan video, jadi mana buktinya? Saya juga menerima terlalu banyak pertanyaan mengenai keadaan dia namun saya tidak boleh komen kerana saya tidak tahu.

“Sebagai adik, saya hanya mampu doakan dia. Sama ada dia balik (ke Malaysia) atau tak, saya sendiri tak tahu,” ujarnya.

Kehilangan Muhammad Sajjad sejak Februari lalu terjawab selepas dilaporkan ditahan pihak Imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

Dia ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak Imigresen jam 6 petang (waktu Thailand). – Malaysiapost

Kredit Foto: Roti Kaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here