Malaysia tidak mahu terjebak dalam pertarungan kuasa besar dunia – Hishammuddin

0
1

MENTERI Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan pembentukan pakatan strategik ketenteraan baharu Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) berpotensi mengganggu gugat keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.

Menurutnya, beliau juga menyuarakan bahawa Malaysia tidak mahu terjebak dalam pertarungan kuasa-kuasa besar dunia khususnya di rantau ini.

“Pendirian Malaysia kekal konsisten – semua pihak harus menghindari daripada menggunakan sebarang tindakan ketenteraan yang dianggap provokatif, selain berpotensi meningkatkan ketegangan serta mencetuskan konflik.

“Dari sudut diplomasi pertahanan, kerjasama pertahanan Malaysia-Australia terus akrab terutama di bawah FPDA. Tahun ini merupakan tahun yang penting dan bersejarah bagi FPDA kerana kita bakal menyambut ulangtahun ke-50 penubuhannya pada bulan Oktober ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Hishammuddin memaklumkan Malaysia akan mendapatkan pandangan daripada China khususnya dalam aspek pertahanan berhubung AUKUS.

Katanya, pendekatan itu menjadi keperluan untuk Malaysia mengimbangi dua kuasa besar dunia iaitu antara AUKUS dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Justeru menurutnya, pihaknya bercadang melakukan lawatan kerja singkat ke republik China dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan.

“Saya bercadang untuk melakukan lawatan ke sana (China) dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan pandangan kepimpinan negara itu khususnya dalam konteks pertahanan.

“Kita akan cuba menelitinya, namun ia bukan perkara mudah bagi mengimbangi dua kuasa besar untuk melihat kedudukan kedaulatan keselamatan kita di rantau ini dapat dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here