KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia membawa tuntutan i-Citra kepada Menteri Kewangan, bagi mempermudahkan urusan pengeluaran, sekali gus mengurangkan beban rakyat, kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
“Alhamdulillah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP telah memberi komitmen untuk mempermudahkan urusan pengeluaran i-Citra bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat dalam menelusuri tempoh yang sukar ketika ini.
“Untuk itu beliau akan mengangkat isu ini untuk dipertimbangkan kelulusan oleh pihak Menteri Kewangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi turut memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan hampir dua jam bersama Ketua Pengarah Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta pegawai tertinggi agensi itu mengenai isu tersebut, khususnya permintaan rakyat untuk mengeluarkan caruman i-Citra secara pukal (one-off) minima RM10,000 dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

“Dalam pertemuan tersebut, kami berbincang panjang mengenai beberapa perkara termasuk hasrat rakyat terutamanya kalangan M40 bahkan sebahagian besar T20 yang sudah jatuh ke peringkat B40.
“Mereka benar-benar berharap dapat mengeluarkan caruman pada kadar minimum RM10,000 secara pukal (lump sum) bagi memenuhi desakan hidup untuk melangsaikan pelbagai komitmen, hutang, dan memulakan hidup baharu akibat hilang punca pendapatan, dipotong gaji, dicutikan tanpa gaji akibat pandemik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, KWSP juga menjelaskan pelbagai kekangan dihadapi mereka termasuk bagi mengimbangi keperluan untuk memastikan jaminan simpanan hari tua pekerja tidak terjejas.
Selain itu, katanya, mekanisme caruman dan takaful bagi melindungi pekerja industri tidak formal atau GIG ekonomi khususnya penghantar P-Hailing dan pemandu E-Hailling yang setakat ini tiada pembelaan dari segi kebajikan dan perlindungan.
“Justeru, InsyaAllah KWSP juga bersetuju mengadakan kerjasama dengan Pemuda Umno terutamanya Task Force Khas yang baru ditubuhkan kelmarin bersama pihak Kesatuan Sekerja Malaysiam (MTUC) dan Kesatuan-Kesatuan yang mewakili pekerja muda P-Hailing dan E-Hailing.
“Doakan agar #TuntutanRakyat mengenai i-Citra ini dapat segera dipertimbangkan untuk diluluskan oleh pihak Menteri Kewangan dan KWSP,” katanya. – Malaysiapost

