Rayuan kemasukan Universiti Awam selepas 11 hari

0
1
Sebahagian pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menunggu dan menaiki bas mengikut SOP yang ditetapkan untuk pulang ke kampung sempena cuti perayaan Aidilfitri di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini.

PEMOHON yang gagal mendapat tempat di Universiti Awam (UA) boleh mengemukakan rayuan selepas 11 hari hebahan semakan keputusan kemasukan ke UA sesi 2021/2022 yang diumumkan Rabu lalu.

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin berkata, rayuan boleh dikemukakan menerusi Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar (UPUOnline).

“Pemohon hanya boleh mengemukakan empat pilihan rayuan dan program bertemu duga atau ujian hanya untuk pilihan satu dan dua.
“Calon yang gagal sahaja akan mendapat menu rayuan, dan bagi yang berjaya nak tukar ke pilihan pertama itu tidak dibenarkan,” katanya.

Wahi berkata, calon yang ingin membuat permohonan baharu atau terlepas membuat permohonan menerusi UPUOnline, boleh mengambil maklum tentang permohonan yang dibuka oleh UA seperti Universiti Teknologi MARA dan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang membuka permohonan pada semester kedua pada Mac 2022.

“Jadi calon-calon boleh melayari permohonan kemasukan semester kedua, bukan ambilan kedua, boleh buat permohonan terus kepada universiti berkenaan. Peluang di situ lebih cerah dengan keputusan yang ada,” katanya.

Beliau berkata, keputusan rayuan akan diumumkan pada akhir Oktober selepas kumpulan pertama mendaftar masuk ke universiti mulai 15 Oktober depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here