Lebih 500,000 kes sijil digital vaksinasi Covid-19 sudah diselesaikan – KJ

0
1

INDIVIDU yang masih mempunyai masalah dengan sijil digital vaksinasi di aplikasi MySejahtera, boleh menggunakan sijil fizikal diberi oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memasuki mana-mana premis.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata susulan itu semua pihak yang menjaga atau menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) diminta membenarkan penggunaan sijil vaksinasi fizikal.

“Buat sementara waktu bagi mereka yang mempunyai masalah sijil digital boleh menggunakan kad fizikal yang diterima untuk memasuki mana-mana premis.

“Saya minta semua yang menguatkuasakan di premis-premis ini membenarkan mereka yang tidak mempunyai sijil digital untuk menggunakan sijil fizikal,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Kedah, hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh seminggu lalu pasukan MySejahtera sudah menyelesaikan lebih 500,000 masalah berhubung sijil digital vaksinasi dan terdapat kira-kira 200,000 lagi sedang ditangani.

“Sebanyak 95,000 aduan diterima adalah berkaitan dengan pengguna MySejahtera dan antara masalah dikenalpasti berpunca daripada status penerima vaksin sebagai tanggungan menyebabkan sijil vaksin digital individu tersebut terikat pada pemilik akaun utama.

“Untuk masalah ini pemilik akaun perlu keluarkan tanggungan bagi membolehkan tanggungan mendaftar akaun MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata, masalah lain yang dikesan adalah, pemilik akaun MySejahtera tidak mengesahkan nombor kad pengenalan dalam akaun dan mereka perlu mengesahkannya dahulu sebelum mendapat sijil vaksinasi.

“Selain itu 71,000 kes diterima mengenai sijil vaksinasi adalah berpunca daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang tidak melengkapkan proses dokumentasi selepas individu selesai mengambil vaksin.

“Bagi isu ini pasukan MySejahtera sedang buat penyelarasan dengan PPV yang terlibat untuk pastikan pengguna terima paparan sijil digital vaksin dalam MySejahtera,” katanya.

Khairy berkata, satu lagi isu yang ingin beliau bangkitkan adalah mengenai sindiket kononnya menjual sijil vaksinasi palsu.

“Saya ingin tegaskan apa yang dilakukan sindiket ini sekiranya benar adalah perkara yang bukan hanya tidak bertanggungjawab tetapi melanggar undang-undang dan kita akan minta kerjasama polis untuk siasat dakwaan ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here