Lelaki mabuk ditahan pandu lawan arus di KESAS

0
2

POLIS menahan seorang lelaki kerana memandu secara melawan arus sejauh tiga kilometer (km) dari KM23 hingga KM20 Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata polis menerima laporan berkenaan pemandu berusia 36 tahun itu pada jam 12.01 tengah malam.

“Seorang lelaki tempatan memandu kereta jenis Toyota Vios berwarna emas secara melawan arus dari susur bandar Puteri menghala ke tol Kota Kemuning.

“Ujian S-D2+ telah dilakukan di Balai Polis Trafik Klang Selatan dan mendapati, pemandu positif (alkohol) bacaan 400 mg/100ml dan ujian Evidential Breathalyzer (EBA-II) 215mg/100ml,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod saman trafik dan tiada rekod kesalahan jenayah.

Katanya, suspek yang beralamat di Bandar Sunway, Petaling Jaya ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kereta yang dipandunya turut disita untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan dilakukan di lokasi kejadian oleh peronda lebuh raya (EMPV). Suspek memberi kerjasama dan telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video tular menunjukkan sebuah kereta dipandu secara lawan arus di lebuh raya terbabit.

Bagaimanapun, tiada kemalangan dilaporkan berlaku, dengan beberapa kenderaan lain dilihat berjaya mengelak kereta suspek yang dipandu di lorong kanan lebuh raya itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here