PUSAT sukan termasuk gimnasium dan boling dijangka kembali beroperasi dalam masa terdekat, kata Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Beliau berkata, kementerian telah menyediakan cadangan bagi melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk membolehkan kemudahan sukan tersebut beroperasi.
Katanya, pihak KBS sedar tentang desakan berhubung pengoperasi semula fasiliti-fasiliti sukan berkenaan dan bersimpati kepada operator terlibat.
“Kita berurusan dengan cukup rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM). Kita juga sudah sediakan cadangan untuk laksanakan SOP yang ketat membolehkan fasiliti (gimnasium dan boling) dibuka.
“Saya percaya KKM sedang perhalusi SOP berkenaan. InsyaAllah dalam masa terdekat, pusat gimnasium dan boling ini dapat beroperasi,” katanya dalam sesi Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang mahu KBS meneliti pembukaan operasi pusat sukan dan gimnasium.
Aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal serta bukan berkumpulan sudah mula dibenarkan bagi negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Aktiviti sukan dibenarkan namun perlu mematuhi SOP yang sudah ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19.
Kemudahan tambahan sektor sosial itu hanyalah kepada individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap bagi negeri di dalam Fasa satu PPN. – Malaysiapost

