
JABATAN Peguam Negara (AGC) sedang mempertimbangkan cadangan daripada pihak berkepentingan untuk mengeluarkan percubaan membunuh diri daripada
sistem keadilan jenayah.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata golongan tersebut akan dimasukkan ke dalam sistem rawatan kesihatan bagi mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Beliau berkata, isu percubaan membunuh diri menjadi lebih meruncing
pada masa ini kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu dan menyebabkan ramai kehilangan sumber pendapatan atau hilang pekerjaan.
Katanya, cadangan itu dibuat berdasarkan kajian perbandingan peruntukan undang-undang mengenai percubaan untuk membunuh diri di United Kingdom, New
Zealand, India dan Singapura.
“Dan didapati negara-negara tersebut telah mengeluarkan percubaan membunuh diri daripada sistem keadilan jenayah dan memasukkan orang yang membuat percubaan membunuh diri ke dalam sistem rawatan kesihatan.
“Oleh itu, berdasarkan perkembangan undang-undang berkaitan di negara yang dikaji, AGC sedang menimbang cadangan daripada pihak berkepentingan untuk mengeluarkan percubaan membunuh diri daripada sistem keadilan jenayah.
“Dan memasukkan orang yang membuat
percubaan membunuh diri ke dalam sistem rawatan kesihatan bagi mendapatkan rawatan yang sewajarnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Penjelasan itu dibuat Perdana Menteri bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual yang meminta beliau menyatakan perkembangan terbaru mengenai undang-undang untuk tidak menjadikan cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah di bawah Akta Kanun Keseksaan dan bilakah ia akan dibentang dan dibahas di Parlimen.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan mengambil inisiatif untuk mengkaji undang-undang
berkenaan dengan kesalahan persubahatan dan percubaan membunuh diri di Malaysia.
“Ia kerana berdasarkan statistik setakat 2015 insiden percubaan membunuh diri semakin meningkat dan meliputi pelbagai peringkat umur.
“Isu percubaan membunuh diri menjadi lebih meruncing pada masa ini kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu menjadikan ramai kehilangan sumber pendapatan atau hilang pekerjaan.
“Oleh yang demikian, pendekatan yang lebih holistik perlu diambil untuk mengekang perbuatan tersebut,” katanya. – Malaysiapost
