Covid-19: KPKT perkenalkan inisiatif RUMAH IKRAM bantu rakyat

0
2

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini memperkenalkan program ‘Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia’ atau ‘RUMAH IKRAM KPKT’, bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata kementeriannya akan menyediakan sebanyak 1,000 unit kediaman di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan dan Johor dengan kadar sewa paling minimum iaitu RM124 sebulan.

“Justeru, inisiatif bersifat penampan ini dikhususkan rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19 seperti kehilangan pendapatan, kekurangan pendapatan serta kehilangan pekerjaan sehingga tidak lagi mampu membayar sewa yang tinggi, dihalau keluar dari rumah sewa dan seumpamanya.

“IKRAM bermaksud “memuliakan” dalam bahasa arab dan ia menjadi hasrat KPKT untuk memberi kemuliaan kepada Keluarga Malaysia yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha bersasar KPKT bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Malah, katanya, pasukan KPKT juga sedang merangka beberapa lagi inisiatif bersifat responsif serta penampan untuk mengurangkan keresahan rakyat.

Beliau berkata, RUMAH IKRAM KPKT ini juga merupakan sebahagian daripada agenda ‘Liveable Malaysia atau Malaysia Berdaya Huni’ yang digagaskan olehnya melalui fungsi serta peranan proaktif KPKT.

“Usaha ini juga selari dengan matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memperkasa gagasan Keluarga Malaysia yang bukan sahaja prihatin malah responsif kepada keperluan rakyat,” katanya.

Permohonan untuk mendapatkan kemudahan RUMAH IKRAM KPKT ini telah pun dibuka di portal TEDUH KPKT melalui capaian https://teduh.kpkt.gov.my.

Syarat-syarat permohonan bagi Inisiatif Kediaman Keluarga Malaysia seperti berikut:

(i) Pemohon dan pasangan warganegara Malaysia;
(ii) Pemohon berumur 18 tahun dan ke atas;
(iii) Tidak memiliki rumah, tempoh sewaan ditamatkan oleh tuan rumah atau seumpamanya; dan
(iv) Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000.00 sebulan.

Sebarang pertanyaan mengenai program ini boleh diajukan ke talian hotline Jabatan Perumahan Negara (JPN), KPKT : 03-8891 4475. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here